Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar batang lembing (kadar satu galah) yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Cara melaksanakannya

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun, boleh juga pada rakaat yang pertama selepas Al-Fatihah dibaca Surah Al-Kafirun dan pada rakaat kedua selepas al-Fatihah dibaca surah al-Ikhlas.

 

Bilangan rakaatnya

Seringkas-ringkasnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 8 rakaat (ada juga ulama’ yang berpendapat sebanyak2nya 12 rakaat).

Doa yang disarankan

Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , maka turunkanlah. Dan jika ianya di dalam bumi, maka keluarkanlah. Dan jika ianya sukar, maka mudahkanlah. Dan jika ianya haram, maka sucikanlah. Jika ianya jauh, maka dekatkanlah. Dengan berkat waktu dhuhaMu, keagunganMu, keindahanMu, kekuatanMu dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”